Nampaknya fenomena inginkan kulit putih ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di negara India juga tidak terkecuali. Entah sejak bila, berkulit cerah dianggap satu kelebihan dan lambang kecantikan wanita.
Kredit foto: Getty images
Seorang wanita berusia 21 tahun di India bertindak membunuh diri disyaki gara-gara depresi akibat sering dihina oleh suaminya sendiri. Suami wanita tersebut seringkali menyebut tentang kulit wanita itu kerana terlalu gelap. Hal ini menyebabkan wanita malang itu menjadi sangat tertekan.
Memetik laporan BBC Hindi, ekoran itu, bapa wanita tersebut memfailkan laporan polis di Rajasthan, India terhadap si suami atas tuduhan menjadi punca anaknya bertindak membunuh diri. Bagaimanapun, masih belum ada tangkapan dilakukan oleh pihak polis kerana si suami perlu memberi keterangan terlebih dahulu.
Di India, fenomena sebegini sudah makin menjadi-jadi sehinggakan kempen meraikan kulit gelap terpaksa diwujudkan. Media juga sudah terbiasa menyunting foto-foto selebriti dengan mencerahkan tona kulit mereka sekaligus memberi signal bahawa definisi kecantikan itu terhad kepada kulit putih sahaja.
Oleh itu, orang ramai semakin merasakan mereka tidak cantik kerana berkulit gelap.
Ini bukan kali pertama kes bunuh diri di India akibat berkulit gelap. Terdahulu, wanita berusia 29 tahun juga membunuh diri akibat dicerca oleh suaminya kerana berkulit gelap. Selain itu, seorang remaja berusia 14 tahun juga nekad membunuh diri kerana tidak tahan dibuli rakan sekelas yang menggelarnya hodoh kerana terlalu gelap.
Gambar hiasan : Rebloggy
Mungkin sudah tiba masanya pihak media berhenti menayangkan stereotaip kulit putih itu cantik kerana ia jelas satu tindakan yang tidak sihat dan mengakibatkan wanita-wanita terlalu obses ingin mencerahkan kulit sedangkan ia tidak perlu. - CARI |