Insiden kecurian di khemah lima pasukan MotoGP Sepang mengakibatkan kerugian lebih RM200,000. Kredit foto: Lalasport
Lima pasukan yang bertanding dalam MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini dikejutkan dengan insiden kecurian alat ganti motosikal dan peralatan komputer bernilai lebih RM200,000.
Memetik laporan Lalasport pada 1 November, pasukan-pasukan yang terlibat adalah Gaviota Angel Nieto, CIP Green Power, BOE Skull Rider Mugen Race, Reale Avintia Arizona 77 dan Red Bull KTM Garlic.
Difahamkan, kesemua pasukan berkenaan tidak mempunyai tempat di padok kerana ruang tidak mencukupi dan mereka diletakkan di khemah yang didirikan di tempat letak kereta P1.
Menurut pengurus pasukan Angel Nieto, Gino Borsoi, pencuri telah mengambil set lengkap penyerap hentakan, angkup dan cakera brek, komputer riba, alat bengkel, pemanas tayar, spring untuk fork dan penyerap hentakan belakang.
"Kami berharap pengurusan litar akan memberi maklum balas terhadap insiden ini," katanya.
Penyerap hentakan adalah salah satu komponen motosikal yang dicuri (Gambar hiasan). Kredit foto: Carian Google
Sementara itu, memetik laporan Sinar Harian Online, polis telah menahan tiga pekerja syarikat keselamatan yang kesemuanya lelaki tempatan berumur antara 20 hingga 30-an bagi membantu siasatan berhubung insiden kecurian tersebut.
Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah menjelaskan, mereka ditahan kira-kira pukul 1 pagi pada 3 November dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
"Kita masih menjalankan siasatan sebelum mengesahkan sama ada ketiga-tiga pekerja keselamatan itu terlibat atau tidak kerana semasa kejadian berlaku mereka sedang bertugas di sekitar lokasi. Polis juga sedang menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi," jelasnya.
Pasukan Angel Nieto turut menjadi mangsa kecurian (gambar hiasan). Kredit foto: MotoGP.com
Beliau memberitahu, kawasan insiden berlaku adalah di bawah tanggungjawab syarikat keselamatan yang dilantik oleh Litar Antarabangsa Sepang.
Mereka yang didapati bersalah mencuri mesti dikenakan hukuman maksimum kerana perbuatan jenayah ini telah mencemarkan nama negara. - CARI |