Gambar Hiasan Ihsan Google
Semata-mata kerana soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ada menyebut perihal kegiatan luncur udara (paragliding), sebahagian calon peperiksaan itu 'menyerang' Instagram Laura Melissa Wiliam yang terbabit dalam sukan itu.
Semuanya bermula apabila mereka gagal menjawab soalan Bahasa Inggeris kertas 2 yang memaparkan watak bernama Melissa yang suka dengan aktiviti sukan paragliding.
Keadaan menjadi lebih hangat apabila calon mendapati Melissa sememangnya wujud di dunia sebenar serta menjumpai akaun Instagram beliau seperti dikongsikan di Facebook Cikgu Shah (Shahzalina Ghazali).
Lantaran itu, sebahagian warganet turut tampil memohon maaf di Instagram Laura Melissa berikutan tindakan calon SPM tahun yang dianggap tidak bermoral.
Tindakan tidak matang pelajar ‘bergurau’ dengan meninggalkan komen menyindir Laura Melissa telah mengundang rasa tidak senang pemilik akaun tersebut.
Mana tidaknya, tanpa berbuat apa-apa kesalahan dia menjadi mangsa buli siber pelajar Malaysia.
Melissa meminta mereka yang meninggalkan komen mencaci sebaiknya berfikir sebelum bertindak. Namun, pengalaman ini sangat membantu dalam kajian buli yang sedang beliau jalankan.
Dia juga mengelak untuk memuat naik sebarang entri sehingga keadaan kembali reda.
Rasa sedih dan ralat melihat sikap generasi muda kita yang baru saja menduduki Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2019. Itu baru soalan SPM. Bagaimana agaknya anak-anak ini menghadapi realiti kehidupan kelak?
Apapun, ibu bapa perlulah mendidik dan menjaga anak-anak ini supaya jadi lebih berakal, matang dalam tindakan dan juga lebih beradab. - CARI
|