Baru-baru ini ini, Alif Satar, 29, atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar telah menyertai acara Ironman Langkawi 2019 dan berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 15 jam, lima minit dan 49 saat.
Namun, ada netizen mempersoalkan bagaimana Alif menunaikan solat jika mengambil masa 15 jam di acara tersebut. Alif sebelum ini pernah memaklumkan pihak penganjur ada menyediakan tempat khas untuk umat Islam menunaikan kewajipan mereka.
Terkini Alif menerusi laman Instagram miliknya, beliau telah memuat naik satu klip video yang menunjukkan beliau mengambil wuduk dan menunaikan solat di 'checkpoint' perlumbaan.
Perkongsian itu sekali gus menjawab tanda tanya pertikaian netizen sebelum ini. Menurut Alif lagi, perkongsian itu juga bagi membuktikan solat itu mudah dan boleh dilakukan di mana sahaja dalam apa cara sekalipun.
"Sejak buat perjalanan Ironman Langkawi 2019 di Youtube, ramai mengikuti perkembangan ini. Dalam masa sama, saya mahu beri inspirasi kepada orang ramai.
"Apabila timbul persoalan macam mana dengan solat, saya berasakan perkongsian ini sedikit-sebanyak membantu mereka yang ingin menyertai acara ini.
"Mungkin mereka bertanya sebab tak tahu. Bagi saya, tak perlu risau atau takut nak masuk terutama memikirkan bab solat.
"Solat itu mudah. Alhamdulillah, tempat perlumbaan ini menyediakan tempat untuk solat. Tinggal lagi kita kena bijak cari masa," katanya memetik laporan Harian Metro.
Menurut Alif lagi, perkongsian ini bukan untuk menunjukkan dirinya bagus tetapi bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan.
Untuk video penuh keseluruhan perlumbaan, peminat boleh menontonnya di Saluran Youtube Alif Satar. - CARI
|