|
Ibu saman anak kerana curi RM34 juta
| 21 November 2019
BANGKOK - Seorang wanita berusia 76 tahun menyaman anak perempuannya, bank dan empat pekerja institusi kewangan itu kerana didakwa mengambil lebih 250 juta baht (RM34 juta) daripada akaunnya ketika dia jatuh sakit pada 2014.
Huay Sriwirat tiba dengan kerusi roda di Mahkamah Tinggi Phra Khanong, kelmarin bersama peguam untuk memfailkan saman sivil terhadap Mawadee Sriwirat, 53.
Menurut peguam, Anantachai Chaiyadet, warga emas itu dimasukkan ke hospital lima tahun lalu kerana penyakit arteri koronari.
"Semasa berada di hospital, tertuduh telah mengeluarkan wang daripada kedua-dua akaun menggunakan tandatangan dan cap jari mangsa.
"Sebanyak RM34 juta diambil melalui ratusan pengeluaran," katanya.
Cucu Sriwirat, Mintra Sriwirat, 29, memberitahu neneknya mengumpulkan semua kekayaan itu melalui perniagaan sejak lebih tiga dekad lalu.
Mangsa menyedari kehilangan itu selepas gagal menemui buku simpanannya yang disimpan di tempat selamat sejurus pulang dari hospital.
Chaiyadet berkata, satu saman jenayah telah difailkan terhadap lima individu kerana mencuri, memalsukan dokumen dan menggunakan dokumen palsu.
Sebagai tindak balas terhadap semua tuduhan tersebut, Kasikornbank menegaskan kakitangannya tidak mempunyai sebarang niat jahat dan hanya memenuhi keperluan pelanggan melalui saudara terdekatnya. - Agensi
|
|