“Komunis bukan hanya mahu menyebarkan ideologi sahaja, tetapi mahu merampas kedaulatan dan kepimpinan negara."
PAS mendakwa ada pihak sengaja mengangkat pemimpin komunis sebagai pejuang kemerdekaan dengan mengubah sejarah, membawa pulang abu Chin Peng yang kemudian ditabur di Lumut serta menghina Jalur Gemilang.
Kredit foto: The Star Online/Malaysia Gazette
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man percaya pihak terbabit sengaja mencetuskan perkara tersebut. Dakwanya, pihak terbabit tidak akan berhenti bagi memastikan agenda komunisme menjadi dominan di Malaysia.
Berikutan itu, Tuan Ibrahim memberi peringatan agar tidak sekali-kali mengganggu-gugat keharmonian negara ini dengan ancaman komunisme.
“Komunis melakukan pemberontakan bersenjata di Malaysia sehingga mengorbankan ribuan nyawa termasuk perajurit negara. Luka lama akan berdarah kembali.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk mematahkan agenda bahaya komunisme di negara ini,” katanya dipetik dari Malaysia Gazette.
MalaysiaKini sebelum ini melaporkan, abu mayat Chin Peng, atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa pulang dari Thailand dua bulan lalu.
Abu mendiang bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) yang meninggal dunia pada 2013 itu ditaburkan di laut berhampiran Lumut di Perak dan kawasan hutan banjaran Titiwangsa, tanpa sebarang tugu atau jirat. - CARI |