|
Meskipun sudah kembali aktif di dunia hiburan, Ayu Damit yang dahulunya menjuarai rancangan realiti One In A Million kini semakin rancak berniaga di pasar tani memasarkan hasil tanaman cili beliau.
Ayu ketika ditemui Astro Gempak berkata, dia bersama suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin akan menjengah ke pasar tani untuk berniaga sendiri jualan cili mereka jika tidak terlibat dengan sebarang aktiviti hiburan.
Menurutnya, ramai juga yang bertanyakan 'tak malu ke jual cili di pasar?'
"Saya cakap, malu dah hilang apabila fikir tentang masa depan anak dan keluarga. Kami mencari rezeki halal untuk survive selama lima tahun ini, dari A sampai Z.
"Melihat hasil tanaman ciri sekarang, ianya menjadi satu kepuasan buat saya," ujarnya.
Ayu dan suami juga turut membekalkan cili kepada peniaga kecil lain. Kini, hasil tanaman ladang cili yang diusahakan Ayu dan suami telah mencecah 1.4 hektar terletak di Pangsun, Batu 22, Hulu Langat, Selangor.
Kini, Ayu merancang untuk melibatkan diri dalam penanaman durian selepas membeli 30 anak pokok durian Musang King dan akan menanam anak pokok tersebut di sebuah ladang berkeluasan 2 ekar yang terletak di Perak.
Menyentuh tentang karier seni beliau, penyanyi yang popular dengan lagu Di Mercu ini kini sedang merancang untuk menghasilkan single terbaru, tetapi bukan sekarang.
Walaupun dilabel cerewet, Ayu mengakui dirinya memilih asalkan produk yang dihasilkan mempunyai kualiti dan mesra pendengar.
Selamat maju jaya diucapkan kepada Ayu! - CARI
|
|