|
Penyanyi veteran, Datuk Nassier Wahab, 57, dilaporkan meninggal dunia pada jam 12.45 tengah malam tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMSC), Petaling Jaya.
Berita menyedihkan itu disebarkan oleh rakan karib Allahyarham yang juga penyanyi era 80-an, Zur Eda menerusi aplikasi Whatsapp kepada rakan artis.
"Innalillahi-wainnaillah-hirojiun... Dukacita dimaklumkan Datuk Haji Nassier Wahab baru sahaja menghembuskan nafasnya terakhir pada pukul 12.45 pagi di UMSC."
"Mohon sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah dan kita doakan semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama roh para solihin," tulisnya.
Berita Harian melaporkan Nassier sebelum ini mengalami masalah sakit di bahagian gusi sejak menjalani prosedur cabut gigi, semenjak lima tahun lepas dan menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri, Julai lalu. Arwah seterusnya melakukan rawatan lanjutan seperti radioterapi, kimoterapi dan berehat buat satu tempoh sementara tahap kesihatannya kembali pulih.
Menurut pembantu peribadinya, Ariff Salim, segalanya berlaku dengan pantas apabila Nassier muntah darah kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi. Sebelum itu, arwah telah meminta Ariff untuk mengurut tangan dan belakang badannya sewaktu sedang berehat, namun menghembuskan nafas terakhir 15 minit kemudian.
Pemergian Allahyarham secara mengejut itu disifatkan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) sebagai suatu kehilangan besar kepada industri muzik tanah air.
Berasal dari Pulau Pinang, Nassier Wahab memulakan karier dalam bidang seni sebagai penyanyi dan pelakon pada era 1980-an. Penyanyi Memori Cinta Luka itu juga pernah menyertai Gegar Vaganza (GV) musim kedua pada tahun 2015 dan berjaya mendapat tempat keempat keseluruhan.
Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Fatimah Abd Rauf, 56, dan seorang anak, Intan Najihah.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan pagi ini di kawasan kediamannya di Bandar Bukit Raja, Selangor. - CARI
|
|