KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pengacara, Elly Mazlein, tidak dapat menyembunyikan perasaan terharu apabila menerima hadiah sebuah kondominium daripada bakal suami menjelang hari pertunangan mereka.
Dia yang berkongsi kegembiraan itu dalam satu rakaman yang dimuat naik menerusi akaun Instagram, memaklumkan bakal suaminya turut memberikan sejumlah wang untuk membeli kelengkapan sebagai persediaan hari bahagia mereka.
Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 39, ketika dihubungi BH Online berkata, dia masih belum membuat keputusan sama ada mahu mendiami kediaman itu atau sebaliknya.
Namun, dia dan bakal suaminya yang hanya diperkenalkan sebagai Azlan, 29, sudah merancang untuk terlebih dahulu menghiasi kondominium tiga bilik itu.
“Alhamdulillah, bakal suami berusaha membelikan rumah hasil titik peluhnya bekerja sebagai kakitangan kerajaan. Saya berharap kemanisan ini akan berpanjangan.
“Saya cukup terharu melihat kesungguhan bakal suami, terutama layanan baiknya terhadap saya dan anak, Putri Sara Sefhia. Dia menjadikan saya wanita paling bahagia dengan kehadirannya.
“Saya tidak memilih siapa bakal suami, asalkan dia dapat memenangi hati anak, bapa dan ahli keluarga yang lain. Itu sudah cukup menggembirakan hati saya.
“Paling penting, dia menyayangi saya dan anak dengan sepenuh jiwa, bertanggungjawab dan mempunyai kerjaya tetap. Pada mata saya, bakal suami insan yang terlalu hebat,” katanya yang mengenali jejaka berasal dari Kelantan itu sejak Ogos tahun lalu.
Ditanya mengenai tarikh pertunangan mereka, penyanyi lagu Bakawali itu berkata, perkara itu akan diumum menerusi saluran YouTube, Dunia Elly Mazlein dalam masa terdekat.
“Mengikut perancangan, majlis itu akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sedikit masa lagi,” kata pengacara program Mentor Milienia 2019 itu.
Sempena meraikan majlis pertunangannya, Elly turut mengambil peluang berkongsi rezeki dengan 20 peminat bertuah yang mengikuti saluran YouTube miliknya.
“Wang tunai RM200 untuk setiap seorang itu adalah cara saya berkongsi rezeki dengan peminat. Mereka yang ingin memenangi wang tunai itu perlu mengikuti saluran YouTube saya.
“Pada mulanya, saya merancang memberikan wang tunai kepada lima peminat bertuah, namun apabila ada rezeki lebih dan ramai yang berhasrat membeli kelengkapan sekolah, saya tambah kepada 20 pemenang,” katanya.
Elly sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan pengarah Azmi Hatta pada 9 November 2014 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia tiga tahun. Mereka bagaimanapun, berpisah pada 15 Oktober 2015.