Baru-baru ini, bekas rakan kongsi Zain Saidin, Adam Warren Fernandez Abdullah menerusi status di Facebook mendedahkan kerjasama mereka dalam perniagaan yang didakwa lingkup sehingga terpaksa berhutang dengan ah long.
Perniagaan terbabit hanya mampu bertahan selama setahun sebelum operasi ditamatkan pada Jun tahun lalu.
Kredit foto: Berita Harian & Instagram Zain Saidin
Memetik Berita Harian, Zain enggan mengulas lanjut mahupun memanjangkan isu tersebut.
"Saya tidak mahu membuka aib dia. Perkara ini adalah cerita peribadi yang tidak patut pun didedahkan di laman sosial mahupun media.
"Saya malas nak panjangkan isu ini kerana ia akan membuka aib pihak sebelah sana. Saya tak nak malukan sesiapa.
"Berdasarkan cerita yang dibaca, seperti ada 'penambahan garam' dalam artikel disiarkan sebuah portal apabila isu tersebar bukan 100 peratus benar.
"Banyak lagi perkara lain yang berbangkit, tetapi ia adalah cerita peribadi antara kami. Ia tidak patut didedahkan kepada umum," katanya.
Zain turut menyifatkan perniagaan yang tidak menjadi terbabit berpunca daripada kekurangan promosi dan kurang ilmu perniagaan.
Sebagai usahawan baharu, mereka patut mendengar nasihat daripada mereka yang lebih berpengalaman agar perniagaan diusahakan tidak tersasar.
"Sebagai rakan kongsi, apabila nasihat diberi bagi memajukan perniagaan diambil enteng, saya boleh rasa apa yang bakal terjadi dengan perniagaan itu pada masa akan datang dan semestinya saya akan menarik diri.
"Saya faham, orang yang berniaga buat kali pertama tidak mudah menerima nasihat kerana saya juga pernah melalui situasi sebegitu.
"Tetapi percayalah, tanpa ilmu pengetahuan sebenar, sukar untuk kita berniaga.
"Apa yang saya lihat, usahawan sekarang cukup takut melaburkan wang untuk pemasaran. Mereka menganggap ia sebagai 'pemasaran hangus'," tegasnya.
Tentu saja risiko terbesar dari berniaga adalah kerugian berupa wang. Begitulah adat dalam berniaga. - CARI
|