Billie Hodgson, 17, menderita penyakit cataplexy yang menyebabkannya lumpuh otot secara tiba-tiba jika dia tertawa. Bukan setakat itu, sebarang ledakan emosi seperti keterujaan, amarah malahan terkejut boleh membuatnya tidak mampu mengawal tubuhnya.
Memetik Daily Mail, setiap kali diserang penyakit ini, dia seperti dalam keadaan terkunci dan tidak mampu bergerak, namun masih dalam keadaan sedar. Penyakit ganjil ini sangat jarang berlaku dan merupakan komplikasi daripada penyakit narkolepsi.
Kehidupan peribadinya amatlah terhad sehingga dia tidak mampu bersama kawan-kawannya selalu.
"Saya seorang yang ceria sebenarnya, tapi untuk merasa seperti saya tidak dapat ketawa sangat aneh. Saya rasa saya tidak boleh menjadi diri saya.
"Rakan saya cuba untuk tidak berjenaka dan jika mereka membuat saya ketawa, mereka berasa seperti mereka perlu memohon maaf.
"Apabila saya bersama mereka, saya selalunya tidak akan terlibat dalam situasi lucu untuk mengelakkan cataplexy terutama di hadapan mereka yang tidak biasa dengan penyakit ini," katanya.
Billie, yang tinggal di rumah dengan ibunya, Sharon, 49, dan adiknya, Harley, 14, telah didiagnosis dengan cataplexy pada Mac tahun lepas.
Ingatan pertamanya mengenai serangan cataplexy adalah ketika dia tiba-tiba rebah di dewan makan malam di sekolah menengah apabila dia berusia sekitar 14 tahun. Katanya, penyakitnya ini tidak mempunyai gejala.
Sepupunya, Declan cuba membuat Billie ketawa dengan berjenaka
Setakat ini, belum ada ubat yang dapat menyembuhkan penyakit tersebut. Risiko kematian juga belum diketahui. Cuma, penyakit ini memyebabkannya tidak dibenarkan memandu, menyukarkan untuk menyambung pelajaran ke kolej dan dia merasa seperti terpenjara dengan emosinya sendiri. - CARI |