Mayat lelaki warga emas dari Singapura yang meninggal dunia akibat serangan jantung dibawa keluar dari bas yang dinaikinya. Kredit foto: Facebook
Kebelakangan ini, banyak berita palsu disebarkan oleh individu-individu tidak bertanggungjawab berhubung penularan wabak coronavirus termasuk di negara ini.
Salah satu berita palsu tersebut mendakwa kononnya seorang lelaki warga emas dari China meninggal dunia akibat coronavirus di Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor pada pagi 25 Januari.
Memetik laporan BH Online, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar menjelaskan bahawa dakwaan itu adalah tidak benar sama sekali.
Sebenarnya, lelaki berusia 78 tahun itu berasal dari Singapura dan dia meninggal dunia akibat serangan jantung.
"olis juga sudah memulakan siasatan terhadap individu yang menyebarkan berita palsu ini mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.
Asisten Komisioner Dzulkhairi Mokhtar. Kredit foto: BH Online
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, panggilan kecemasan diterima daripada seorang pegawai imigresen di kompleks berkenaan kira-kira pukul 7.05 pagi berhubung mendiang yang tidak sedarkan diri di dalam sebuah bas pelancong yang berhenti untuk pemeriksaan pasport di depan kaunter imigresen.
Berdasarkan siasatan awal, si mati dan isterinya yang juga seorang warga Singapura berusia 68 tahun dalam perjalanan untuk melancong ke Genting Highlands.
Semasa tiba di lokasi kejadian, si mati mengadu kepada isterinya bahawa dia sakit dada dan berasa kurang selesa.
"emandu bas kemudian memaklumkan kejadian ke kaunter Imigresen sebelum pemeriksaan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia akibat serangan jantung dengan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat," jelasnya.
Segelintir netizen nampaknya terlalu ghairah ingin menjadi 'wartawan tak bertauliah' sehingga menyebabkan mereka tidak memastikan maklumat yang diterima benar-benar sahih sebelum ditularkan dalam media sosial. - CARI |