Tular di media sosi@l gambar bunting yang memaparkan seorang lelaki bernama Nooraziro Abdullah atau Aziro mencari pasangan hidupnya dengan mengiklankan dirinya sendiri awal tahun ini.
Iklan tersebut yang digantung di tepi jalan mendapat perhatian ramai dan tindakannya itu turut mendapat reaksi pelbagai daripada netizen dalam dan luar negara.
Walaupun iklan tersebut telah diturunkan oleh Majlis Perbandaran Dungun, Aziro memaklumkan menerima lebih 500 aplikasi WhatsApp dan panggilan daripada wanita untuk berkenalan dari seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak selain Indonesia.
Kredit Foto - Aziro Via Malaymail
Kini, selepas hampir sebulan, Aziro sudahpun menjumpai calon isteri yang dimahukannya seperti dilaporkan Harian Metro.
"Kali pertama saya melihat dan mendengar tutur katanya yang lemah lembut, hati saya terus terpaut. Insya Allah jika ada jodoh kami akan berkahwin", katanya yang enggan mendedahkan nama wanita itu.
Menurut Aziro, wanita berusia 33 tahun itu menghubunginya selepas melihat iklan mencari jodoh olehnya yang tular sebelum ini.
Selepas bertukar-tukar pesanan melalui telefon, Aziro sudah berjumpa dengan calon isterinya ditemani adik perempuannya.
Bakal isterinya bekerja sebagai kerani dan berasal dari Kuala Terengganu.
"Walaupun dia bersetuju untuk saya menjadi suaminya, namun kami masih mahu berkenalan antara satu sama lain terlebih dahulu,"kata Aziro.
Ternyata kaedah Aziro yang agak tradisional ini terbukti berhasil dan efektif berbanding aplikasi cari jodoh dalam talian yang popular di kalangan orang muda kini.
Jadi, pada yang sudah mencuba pelbagai cara untuk mencari jodoh, mungkin cara ini boleh dipertimbangkan pula dengan syarat sudah mendapat kebenaran pihak berwajib terlebih dahulu ya! - CARI
Kredit - Malaymail Dan Harian Metro |