Anak patung Elsa yang dibuang ditemukan semula di halaman belakang rumah Emily. Kredit foto: Mirror
Anak-anak patung yang comel tetapi berpuaka hanya muncul sebagai watak-watak dalam filem seram seperti Chucky dan Annabelle.
Namun, seorang wanita dan keluarganya di Houston, Texas mengalami sendiri pengalaman menakutkan itu dengan anak patung Elsa yang merupakan salah satu watak dalam filem animasi, Frozen.
Memetik laporan Mirror, Emily Madonia menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan anak patung yang dihadiahkan kepada anak perempuannya, Aurelia sempena Krismas.
Anak patung itu menakutkan mereka apabila ia menyanyi dan bercakap dalam bahasa Sepanyol apabila suisnya ditutup.
Setelah dibenarkan oleh Aurelia, Emily dan suaminya, Mat membuang anak patung itu tetapi ia 'pulang' ke rumah mereka dua kali.
Dalam kejadian pertama, mereka menemui anak patung tersebut di atas bangku kayu di dalam rumah.
"Okey... kami berasa seram dan kemudian meletakkannya ke dalam dua lapis plastik sampah yang diikat ketat dan diletakkan di dasar tong sampah sebelum ditimbun dengan sampah yang lain dan diletakkan di tepi jalan serta dikutip oleh lori sampah," jelas Emily.
Anak patung Elsa dijadikan hadiah sempena Krismas. Kredit foto: Mirror / Commercial Team
Kemudian, mereka semua pergi bercuti dan apabila mereka pulang, anak patung Elsa itu ditemukan di halaman belakang rumah.
Seterusnya, Emily memutuskan untuk menghantar anak patung berkenaan melalui pos kepada rakannya, Chris yang tinggal lebih 1,500 batu dari rumah mereka.
Chris yang tertarik dengan kisah misteri anak patung Elsa itu mengesahkan dia telah menerima kiriman tersebut.
Watak Chucky yang menyeramkan dalam filem Child's Play. Kredit foto: Horrornews.net
Dia juga telah melekatkan anak patung tersebut pada bonet keretanya untuk mengelakkan ia 'merayau-rayau' ke tempat lain.
Mujurlah anak patung Elsa itu tidak mengganas seperti Chucky atau Annabelle. - CARI |