Seorang wanita di Singapura tergamak berkomplot dengan teman lelaki untuk membunuh suami dengan melakukan khianat terhadap kenderaannya.
Amanda Yeo Pei Min, 27, menyuruh Leong Wei Guo, 25, untuk 'mengusik' tayar dan brek kereta Honda Odyssey milik suaminya dengan harapan lelaki itu maut akibat kemalangan.
Kredit foto: The New Paper
Lebih menyedihkan, dia tidak kisah jika perbuatannya itu membahayakan nyawa anak-anak.
Bagaimanapun, rancangan mereka membunuh Walter Ting Yong Chin, 28, gagal selepas saksi di tempat kejadian menghubungi polis melaporkan mengenai tindakan mencurigakan Leong di sebuah tempat letak kereta bertingkat.
Memetik The New Paper, Amanda dan Leong pada Khamis mengaku bersalah berkomplot untuk mencederakan Walter.
Amanda yang juga pembantu tadbir didakwa bersubahat merancang pembunuhan, manakala Leong didakwa melakukan percubaan membunuh.
Difahamkan, Ting yang juga pemandu Grab dan Amanda berkahwin pada September 2011 dan memiliki dua anak sebelum wanita itu kantoi curang bersama lelaki yang dikenalinya menerusi Facebook.
Ketika perkahwinan mereka semakin goyah, hubungan Amanda dan Leong semakin intim sehinggalah mangsa ingin menceraikannya.
Tidak tahan dengan pertengkaran yang sering berlaku berhubung pembahagian harta sepencarian dan hak penjagaan anak, Amanda memutuskan untuk membunuh Ting.
Pada Januari 2018, pasangan kekasih itu merancang untuk memotong wayar sistem brek anti-kunci (ABS) dan memasukkan paku ke dalam tayar kereta mangsa.
Kata Amanda yang mengandungkan anak Leong, hanya kematian Ting dapat membuat dia bahagia, mendorong lelaki itu melakukannya untuk membuktikan cintanya.
Bagaimanapun, gerak-geri Leong yang mencurigakan disedari saksi yang kemudian memaklumkan kejadian kepada polis.
Lelaki itu ditahan selepas gagal memberi penjelasan mengenai kehadirannya di tempat letak kereta berkenaan pada awal pagi 11 Januari.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima bukan ke atas Amanda dan empat bulan penjara terhadap Leong. - CARI |