Kredit foto: Beautiful Nara
Selepas penahanan Datuk Seri Aliff Shukri pada Khamis atas dakwaan mendera anak angkatnya, Ameena, ramai tertunggu-tunggu kenyaatan daripada Datin Seri Nur Shahida mengenai kes suaminya itu.
Datin Seri Nur Shahida yang ketika ini berada di Mekah sejak 23 Februari lalu bagi menunaikan umrah bersama anak-anak mereka memaklumkan kepada Harian Metro bahawa dia akan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk mengambil tindakan sekiranya benar Aliff bersalah.
"Saya tidak ada apa nak komen. Biar polis buat kerja mereka" katanya enggan mengulas lanjut.
Datuk Seri Aliff Shukri ditahan selepas polis menerima satu laporan daripada pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia yang mengatakan usahawan itu mendera anak angkat perempuannya berusia dua tahun dengan mencubit dan memukul dengan kasut sehingga meninggalkan kesan merah dan lebam.
Difahamkan, tindakannya itu dilakukan ketika rakaman video untuk kandungan YouTube miliknya.
Kredit foto: Cempedak Cheese
Ketika dihubungi, Aliff memohon doa daripada orang ramai dan mengatakan dia tidak boleh bercakap lebih mengenai perkara ini kerana ia sudah menjadi kes polis.
Selepas ditahan, Aliff dibebaskan pada hari sama dengan jaminan polis. Sejurus selepas dibebaskan, dia merancang untuk membuat sidang akhbar bagi memberi penjelasan mengenai kes itu, tetapi dibatalkan di saat akhir.
Alasannya, pihak peguam yang mewakili dirinya menasihati untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan supaya tidak mengganggu penyiasatan polis serta tidak mengeruhkan keadaan.
Kredit foto: IG Aliff Syukri
Aliff memohon supaya orang ramai berhenti daripada membuat spekulasi dan fitnah mengenai perkara ini.
Apa kata kita doakan yang terbaik untuk semua pihak. Biar pihak polis dan mahkamah menjalan tugas dan jika benar dakwaan ini, harap kebajikan dan nasib si kecil Ameena terbela. - CARI |