SEORANG pemuda layak digelar anak setan apabila sanggup mencabul ibu kandungnya ketika wanita itu sedang tidur di rumah mereka di Kampung Atas, Mukim Padang Matsirat di Langkawi, semalam.
Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa yang terlantar di ruang tamu rumah akibat lumpuh separuh badan terkejut sebaik didatangi suspek sebelum meraba payu daranya.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek berusia 21 tahun ditahan malam tadi, susulan laporan dibuat adik perempuannya 3 petang, semalam.
“Kejadian itu disedari adik perempuan suspek yang sedang menonton televisyen selepas mendengar tangisan dan jeritan ibu mereka.
“Berikutan itu, pengadu memarahi dan menolak badan suspek daripada terus mencabul ibu mereka,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Iqbal berkata, suspek yang juga penganggur dan penagih dadah itu kemudian melarikan diri.
“Siasatan awal mendapati, ketika kejadian suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah dan perbuatan terkutuk ke atas ibunya bukan kali pertama berlaku.
“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul,” katanya.