Tiada keperluan untuk tidak mengadakan solat Jumaat buat masa ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad.
Bagaimanapun, katanya, susulan penularan wabak Covid-19, khutbah perlu dipendekkan.
"Orang ramai disarankan mengambil wuduk di rumah sebelum ke masjid dan khutbah perlu dipendekkan bagi mengurangkan jemaah terdedah dengan persekitaran," kata bekas mufti itu.
Sementara it, Zulkifli turut menyarankan pihak masjid menyediakan topeng muka dan cecair pembasmi kuman.
Bagaimanapun, kata Zulkifli, jika penularan wabak itu memasuki tahap tidak terkawal, ia boleh tidak diadakan.
“Dalam keadaan wabak menjadi umum, yakni merebak serta tidak terkawal, ketika itu, bolehlah solat Jumaat tidak dilakukan (di masjid).
“Tetapi diganti dengan solat Zuhur di rumah masing-masing,” katanya.
Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim Wan Mohd Noor pada 7 Mac lalu memberitahu Malaysiakini, solat Jumaat boleh tidak diadakan “dalam situasi yang mengancam nyawa dan keselamatan manusia”.
Sementara itu, Zulkifli berkata, Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah menyediakan lima kertas kerja menyentuh mengenai permasalahan solat Jumaat, bersalaman, kenduri kahwin dan pengurusan mandi jenazah berkaitan Covid-19.
"Insya-Allah kita akan kemukakan dalam masa terdekat kepada Majlis Fatwa untuk diputuskan," katanya.