"Saya tak pandai berucap dan seorang yang gugup. Terus-terang, saya takut bercakap atau berucap depan orang ramai."
Pelakon Datin Seri Zizie Ezette, 42, mengakui tidak berbakat menceburi bidang politik.
Kredit foto: IG
Sedar dengan kebolehan diri, Zizie juga akur tiada bakat berucap depan khalayak seperti suaminya, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
"Kalau saya beri ucapan ringkas dalam majlis yang dihadiri pun, hanya Allah yang tahu bagaimana perasaannya ketika itu," katanya kepada Harian Metro.
Kekurangan pada diri menjadikan Zizie kagum dengan suaminya yang masih boleh berehat dalam kereta sebelum berucap.
"Apabila sampai di majlis yang dihadiri, beliau tetap boleh berucap dengan penuh semangat. Saya tak ada kebolehan dan bakat itu," jelasnya.
Bagaimanapun, Zizie tidak keberatan membawa watak sebagai ahli politik dalam lakonan kerana skrip disediakan.
"Dalam lakonan, saya faham kena jadi orang lain. Itu tak apa kerana bagi merealisasikan watak semata-mata.
"Untuk realiti pula, saya memang tidak ada keinginan terbabit dalam politik atau nak jadi ahli politik," katanya.
Tegasnya, dia tidak pernah mencampuri urusan politik suaminya.
Sebaliknya, sama seperti rakyat lain, Zizie lebih selesa membaca dan mengikuti perkembangan politik tanah air. - CARI
|