Bilangan kes COVID-19 terus meningkat dari sehari ke sehari dan ia sangat membimbangkan walaupun ada pesakit yang sembuh dari wabak ini.
Perdana Menteri sendiri dalam perutusan khasnya berkali-kali menyeru seluruh rakyat Malaysia sentiasa mematuhi perintah larangan pergerakan untuk tempoh 14 hari bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020.
Dalam pada itu, lain pula ceritanya seperti yang dikongsikan Ahmad Zakimi Abdullah, seorang doktor perubatan yang turut terlibat merawat pesakit COVID-19 menerusi satu hantaran di f@cebook beliau.
Doktor ini meminta semua pesakit menjaga jarak antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, permintaannya itu disalah tafsir sehingga diperli tidak perlu bimbang kerana Tuhan sentiasa ada di sisi.
Terkedu dengan kenyataan itu, dia membidas semula kenyataan mereka dengan menjelaskan tanggungjawabnya sebagai seorang doktor.
"Bukan awak sorang takut Allah. Saya pun. Sebab saya takut Allah lah, saya pikul tanggungjawab dan amanah neh (kerja merawat). Setiap hari saya kena mengadap COVID ni"
Kredit Foto - Facebook Ahmad Zakimi
Ahmad Zakimi terkilan dengan sikap individu itu kerana beliau dan kakitangan lain semua sudah kepenatan menguruskan penambahan kes COVID-19 di samping menguruskan kes-kes yang sedia ada di jabatannya.
Kakitangan kesihatan seperti beliau sanggup berdepan dan mendedahkan diri pada pelbagai kuman demi menjaga kemaslahatan dari jangkitan wabak, pelihara nyawa dan elakan perkara yang memudaratkan itu bukti takutkan Allah. Itu yang dituntut oleh Nya.
Nampaknya di kalangan umat Islam masih ada yang berfikiran sempit dan kurang memahami konsep doa dan tawakal sehingga menyekat usaha menangani sesuatu perkara yang dihadapi.
Mereka menyerahkan seluruh urusan kepada ketentuan Allah tanpa didahulukan dengan usaha. Dalam apa saja bidang kerja harian kita, perancangan(usaha), doa dan tawakal perlu sentiasa seiring.
Jangan ditinggalkan salah satu daripada "tiga serangkai" konsep penting itu.- CARI |