Peningkatan kes COVID-19 sehingga kini menyebabkan stok peralatan petugas kesihatan semakin berkurangan. Tambahan pula, isu kekurangan bekalan sut pelindung (PPE) kini merupakan satu isu global.
Satu klip video menunjukkan kakitangan hospital menggunakan beg plastik sampah sebagai sut pelindung sementara menjadi tular di media sosial.
Video tersebut yang dipercayai diambil dari sebuah hospital di Kelantan menunjukkan petugas kesihatan di barisan hadapan melawan Covid-19 menggunakan plastik tersebut sebagai penutup kepala.
Sementara itu, di Hospital Lahat Datu, petugas kesihatan terpaksa menjahit sendiri pakaian pelindungan diri (PPE) berikutan kes COVID-19 di Sabah meningkat.
Ada juga rakyat Malaysia yang prihatin, Muhsin Abd Ghani membuat sendiri pelindung muka untuk disumbangkan kepada petugas kesihatan di Hospital Kuala Lumpur.
Kredit Foto - Facebook Muhsin Abd Ghani
Ia menjadi pakaian sementara untuk melindungi kakitangan tersebut daripada dijangkiti virus maut berkenaan.
Terbaru, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam sidang media di sini hari ini (23 Mac), pihak Kementerian Kesihatan (KKM) telah berjaya memperolehi stok bekalan PPE sebanyak 33 juta unit yang dapat menampung penggunaan di semua fasiliti kesihatan dan akan diedarkan dalam minggu ini,
"Kerajaan juga telah menerima sumbangan bekalan PPE daripada pelbagai pihak dan sejumlah tiga juta unit PPE sedang diagihkan ke fasiliti kesihatan mengikut keperluan," katanya yang dipetik dari laporan Astro Awani.
Moga dipermudahkan urusan barisan hadapan kita. - CARI |