Polis dan masyarakat berpisah tiada. Satu hantaran Facebook Polis Johor semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini sangat menyentuh hati warga maya.
Menurut hantaran tersebut, sewaktu membuat rondaan OP COVID 19 di Taman Tampoi Indah, Johor Bahru, dua anggota polis bertugas bertemu pasangan suami isteri bersama seorang anak di taman permainan.
Kredit foto: Facebook Polis Johor
Apabila pegawai polis mendekati pasangan tersebut dan menasihati mereka supaya akur dengan PKP, si isteri terus menangis dan memaklumkan tiada wang ringgit serta bekalan makanan di rumahnya.
Menurut si isteri lagi, mereka tidak mempunyai sumber kewangan dan makanan selepas dia yang bekerja sebagai tukang cuci direhatkan sementara oleh majikan dalam tempoh PKP.
Manakala, si suami pula yang sebelum ini bekerja di Singapura terpaksa berhenti kerana tidak mempunyai permit sah.
Lantas, kedua-dua anggota polis tersebut membelikan barang keperluan harian untuk keluarga itu termasuk bantuan susu buat si anak yang baru berusia setahun empat bulan.
Kredit foto: Facebook Polis Johor
Warga maya turut mengucapkan terima kasih di atas bantuan yang diberikan polis terbabit.
Kredit Foto - Facebook Polis Johor
Tahniah dan syabas buat anggota polis berkenaan atas keprihatinan membantu keluarga ini. Semoga wabak ini segera berakhir dan keluarga berkenaan dapat bekerja seperti sedia kala. - CARI
|