Gara-gara wabak Covid-19 ini, ramai masyarakat tampil memberikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan. Nampaknya, duo fesyen terkemuka Malaysia turut tidak ketinggalan dalam meringankan beban.
Kredit foto: Pesona Pengantin
Namun, bukan makanan atau sumbangan wang ringgit yang dihulurkan tetapi busana baju raya ditempah khas buat mereka yang bertuah.
Beberapa hari lalu, melalui Instagram rasmi Rizman Ruzaini, Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil mengumumkan akan memberi sedikit tanda penghargaan kepada mereka yang bertuah dalam kalangan 'frontliners'.
"Rizman Ruzaini ingin memberikan kembali dan memberi penghargaan kepada frontliners yang sedang membantu negara.
"Caranya mudah, hantarkan gambar unik anda ketika bertugas dan tag Rizman Ruzaini. Kami akan memilih 3 pemenang paling kreatif dan akan dihadiahkan sepasang baju raya," tulisnya lagi.
Pada mulanya, Rizman Ruzaini bercadang untuk memilih tiga pemenang, namun telah membuat keputusan untuk memberikan hadiah buat semua yang menyertai pertandingan itu. Wah, bestlah!
"Anda semua adalah hero sebenar dan kami salut anda. Tahniah dan kami berdoa semoga kita akan mendapat rahmat ramadhan dan selamat berhari raya memakai baju Rizman Ruzaini," katanya.
Ternyata pengumuman tersebut telah menerbitkan rasa gembira dan ceria buat barisan hadapan kita. Bergaya sakanlah raya tahun ni, ya! - CARI
|