Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Johor menumpaskan cubaan menyeludup masuk produk babi dalam tin bernilai RM630 dari Singapura, lapor Harian Metro.
Pemeriksaan dilakukan pada konsainan dibawa seorang lelaki warganegara Malaysia di laluan masuk kargo di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) jam 8.30 malam kelmarin menemui 72 produk babi dalam tin di bahagian penyimpanan barang belakang lori dipandunya.
Kredit foto: Harian Metro
“Kami dapati konsainan itu tidak memiliki permit import yang sah yang dikeluarkan oleh MAQIS serta sijil kesihatan dari negara asal.
“Dagangan itu dipercayai dibawa masuk untuk kegunaan sendiri,” kata pengarah MAQIS, Nur Afifah A Rahman.
Tambahnya, lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang memperuntukkan didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kata Nur Afifah, pihaknya komited melaksanakan pemeriksaan dan penguatkuasaan bagi membendung risiko wabak ‘African Swine Fever’ (ASF) yang mampu merosakkan industri penternakan tempatan. - CARI |