"Sebenarnya, waktu nak tulis posting ini pun, hati saya sebak. Kewangan syarikat terjejas teruk akibat tiada pendapatan hampir dua bulan lebih."
Luah penyanyi dan usahawan, Mila Jirin di laman Instagramnya. Sebagai pemilik syarikat pakej perkahwinan dan pelancongan yang terpaksa berhadapan pandemik Covid-19, dia dan suami cuba menempuh fasa sukar tersebut.
Lebih perit apabila terpaksa bertahan dengan kos operasi dan kos pengurusan berjumlah setengah juta ringgit sebulan.
Namun, mereka tetap positif mencari alternatif sebagai sumber rezeki. Ia sekurang-kurangnya mampu membantu untuk membayar gaji pekerja hampir RM200,000 sebulan.
Kredit foto: IG
Menurut Mila lagi, dia telah memanggil kakitangannya bermesyuarat, lalu menyuarakan situasi syarikat serta jalan untuk mengatasinya.
Rentetan itu, mereka sepakat untuk memulakan perniagaan baru demi memastikan semua pekerja mendapat gaji masing-masing.
"Saya maklumkan pada pekerja, situasi sekarang, saya tak harapkan keuntungan tetapi saya mohon pada Allah, dapatlah usaha usaha ini membantu serba sedikit terutama kos pengurusan (Gaji pekerja) yang hampir RM200,000 sebulan."
Untuk itu, antara alternatif terbaik adalah menyediakan pelbagai jenis kek untuk dijadikan juadah Syawal. Ianya boleh ditempah menerusi laman IG bizmilla_cakepastry iaitu Strawberry Cheesecake, Kek Pandan Gula Melaka dan Brownies Tower.
Untuk itu, Mila mengharapkan sokongan daripada semua rakyat Malaysia mendapatkan produk ini, sekali gus membantu pekerjanya.
"Saya faham, semua ada keluarga, saya tak nak pekerja saya hilang punca pendapatan. Kita buatlah apa sahaja yang termampu dan rezeki yang halal demi kelangsungan syarikat dan dapat mereka bersama-sama menjana pendapatan."
Kredit Foto: IG
Jadi, anda yang belum ada kek raya lagi, bolehlah tempah dengan Mila untuk memeriahkan Syawal nanti. Secara tidak langsung, dapat membantu orang Malaysia juga. #KitaJagaKita - CARI
|