KOTA BHARU: "Kami enam beranak sepatutnya bergembira menyambut ulang tahun kelahiran Muhammad Adam Danish Zaidi yang kelapan tahun malam tadi, namun ia tidak kesampaian apabila dikejutkan dengan kematiannya,".
Demikian luahan Zaidi Ariffin, 42, iaitu bapa kepada Muhammad Adam Danish yang ditemui mati dipercayai terjerut kain tuala di dalam bilik tidur kediamannya di Kampung Kuala Nal, Kuala Krai, malam tadi.
Zaidi berkata, dia menyedari kematian anak ketiga daripada empat beradik itu pada jam 9 malam selepas memanggilnya beberapa kali supaya keluar menyambut hari lahir, namun anaknya tidak menyahut menyebabkan dia terpaksa menendang pintu bilik berkenaan.
"Ketika itu saya terkejut melihat keadaan anak yang sudah tidak sedarkan diri dengan tuala terjerut dan mulut berbuih sebelum menghubungi Hospital Sultan Ismail Petra untuk bantuan kecemasan. Namun sebaik doktor tiba, anak saya disahkan sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menceritakan mengenai sambutan hari lahir anaknya, Zaidi berkata, ketika itu kek sambutan hari lahir dan hadiah sudah dibeli, sebelum menanti Muhammad Adam Danish keluar.
"Pada awalnya, Adam meminta supaya membelikan kek Ejen Ali, namun tidak tercapai memandangkan pembuat kek memaklumkan bahan tidak mencukupi. Kami juga sudah maklumkan kepada Adam terpaksa membeli kek biasa dan dia hanya menjawab ok.
"Kami tidak sangka pemergian Adam adalah pada hari lahirnya. Kami sekeluarga reda walaupun masih terkejut dengan apa yang berlaku," katanya yang turut memaklumkan anaknya seorang yang aktif.
Beliau berkata, apa yang sedikit pelik adalah Muhammad Adam Danish bangun awal pagi semalam dan mengejutnya supaya solat Subuh.
"Itu kali pertama dia kejut saya dan selepas itu dia tidak tidur sehinggalah Adam masuk ke bilik jam 4.30 petang sebelum ditemui meninggal dunia.
"Malah, pada Aidilfitiri lalu, saudara mara termasuk nenek Adam juga tegur kulit Adam kelihatan sangat putih bersih dan saya tidak sangka ia adalah petanda sebelum pemergian Adam buat selama-lamanya," katanya yang jenazah dikebumikan di Kampung Sat Tengah, Tanah Merah, petang ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, siasatan lanjut berhubung kes berkenaan masih dijalankan untuk mengenal pasti sama ada kes ini diklasifikasikan sebagai jenayah atau mati mengejut.