Seorang tukang gunting rambut didakwa melakukan percubaan membunuh selepas menembak pelanggannya.
New York Post melaporkan, kejadian berlaku di sebuah tempat letak kereta di sebuah gereja di United Methodist pada Isnin lalu.
Polis mengesahkan menerima laporan daripada salah seorang mangsa mendakwa tukang gunting rambutnya, John Digiovanni, 35, menembak dia dan rakannya yang juga pelanggan suspek.
Kredit foto: Pejabat Sherif Daerah Palm Beach
Memetik laporan WPTV, suspek mengaturkan temu janji untuk memotong rambut mereka sebelum itu, namun tidak muncul seperti dijanjikan.
Dua minggu kemudian, seorang daripada mangsa menghubungi suspek pada Isnin lalu untuk memberi penjelasan kenapa mereka memungkiri janji, namun ia mencetus kemarahan Digiovanni yang mula menjerit dan menghamburkan kata-kata ugutan.
Kedua-dua mangsa kemudian mengajak suspek untuk bertemu di sebuah gereja bagi bagi memberi penjelasan.
Digiovanni dikatakan mula berteriak dari dalam keretanya sebaik tiba di gereja, manakala mangsa menegaskan dia hanya mahu berbincang dan menjelaskan perkara sebenar, lapor Sun Sentinel.
Bagaimanapun, Digiovanni kemudian keluar dari keretanya sebelum mengacukan pistol ke arah kedua-dua mangsa dan melepaskan beberapa das tembakan sebelum masuk semula ke dalam kereta, lalu melarikan diri dari lokasi.
Penyiasat berkata, mereka memiliki rakaman video kejadian sebagai bukti, namun tidak memaklumkan sama ada ia dirakam mangsa atau kamera litar tertutup (CCTV).
Mangsa bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala suspek masih ditahan di penjara Palm Beach untuk membantu siasatan. - CARI |