Gembira, sebak, gemuruh. Semua perasaan bercampur baur bagi setiap pasangan Raja Sehari. Bagaimanapun, hilang terus debar pengantin lelaki apabila berlaku kejadian tidak disangka-sangka menjelang detik akad nikah.
Di Twitter, tular video pembawa dulang sebelah pihak pengantin lelaki apabila kain sampingnya terlucut sebelum memasuki pagar kediaman pengantin perempuan.
"Nervous nak bernikah terus hilang bila ada moment lawak dari dulang boy @kerenselvam," tulis Ahnaf berkongsi rakaman itu.
Ketika dihubungi mStar Online, Ahmad Ahnaf Ahmad Yusri, 28, berkata, ketika kejadian dia berada di dalam kereta diiringi lima rakannya (dulang boy) pada majlis akad nikahnya di Johor Bahru pada Jumaat lalu.
"Saya masa tu duduk seorang diri di tempat duduk belakang, tunggu isyarat untuk saya masuk ke dalam rumah pengantin bagi akad nikah.
"Masa tu tingkap kereta terbuka dan saya nampak dulang boys ni berjalan. Tapi tiga yang jalan dulu, dua lagi di belakang. Kenapa ada gap (jarak)?
Kredit foto: IG tuturlensaweddings
Kredit foto: IG tuturlensaweddings
"Saya tengok depan mata saya sendiri. Dalam kereta seorang diri tu saya berdekah-dekah ketawa. Boleh nampak dulang boy berhenti untuk pakai semula sampingnya.
"Masa tu memang nervous sebab nak bernikah kan. Tapi tengok aksi lucu Keren tu membuatkan perasaan gementar saya terus hilang. Alhamdulillah dengan sekali lafaz saya bergelar suami orang" katanya.
Sementara itu, Keren yang berteman dengan Ahnaf sejak zaman tadika berkata, dia berjalan perlahan untuk memberi perhatian kepada dulang hantaran berisi beg tangan dan wangian yang dibawanya kerana khuatir terjatuh jika tidak seimbang.
"Tapi dah dekat sampai pintu pagar rumah pengantin perempuan, samping saya terlucut. Saya berhenti sekejap dan serahkan dulang tu kat adik pengantin lelaki dan saya pakai semula samping sendiri," ujarnya. - CARI |