Seorang lelaki maut manakala dua rakannya kini bertarung nyawa di hospital selepas menjalani rawatan pergigian di Turki.
Richard Molloy, 33, dari Ardoyne, Belfast di Ireland meninggal dunia pada Sabtu lalu selepas terbang ke pelabuhan di Marmaris. Bagaimanapun, Metro melaporkan punca kematiannya tidak diketahui.
Richard Molloy (kiri)
Kredit foto: Metro/IG
Manakala, dua rakannya iaitu Declan Carson dan Aaron Callaghan yang juga berasal dari Ardoyne dilaporkan dalam keadaan koma dan kritikal di hospital di negara itu.
Amanah Repatriasi Kevin Bell yang membantu keluarga Molloy menguruskan dan membawa pulang jenazahnya berkata, ia belum disahkan bagaimana ketiga-tiga mereka jatuh sakit.
Jurucakapnya, Colin Bell memaklumkan kepada The Belfast Telegraph ia satu situasi yang rumit.
"Lelaki berkenaan meninggal dunia di Turki ketika mengunjungi negara itu bersama dua rakannya untuk menjalani rawatan pergigian. Kami tidak pasti apa punca mereka jatuh sakit hingga salah seorang daripadanya meninggal dunia," katanya.
(Kiri ke kanan) Aaron Callaghan, Richard Molloy (belakang) dan Declan Carson
Kredit foto: Metro/Facebook
Sumber memberitahu The Guardian bahawa kesemua mangsa berada di Turki untuk menjalani prosedur pemutihan gigi.
Difahamkan, negara itu mempunyai industri pelancongan perubatan dan pergigian yang kukuh.
Terdapat laporan akhbar tempatan yang belum disahkan mendakwa kesemua mangsa ada mengambil ubatan yang berkaitan dengan rawatan berkenaan sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di apartmen mereka.
Pun begitu, tiada kesan menunjukkan bahawa ubat-ubatan tersebut menyebabkan mereka jatuh sakit.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Negeri memaklumkan pihkanya kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Turki bagi menyiasat kes berkenaan. - CARI |