"Doktor maklumkan, saya berisiko tinggi untuk meninggal dunia secara mengejut. Itu berdasarkan ilmu kedoktoran, namun saya serahkan soal ajal kepada Allah.
Luah pelakon, pelawak dan penulis lirik popular, Bob Lokman mengenai keadaan kesihatan terkininya kepada Harian Metro.
Seniman berusia 56 tahun ini baru dibenarkan keluar hospital semalam (jumaat) selepas dua hari ditahan akibat masalah jantung.
Foto : Harian Metro
"Saya ada masalah jantung sejak tahun 1998. Rabu lalu, pertama kali saya berdepan situasi jantung berdegup kencang. Masa nak ambil wuduk, tiba-tiba saya pitam kerana oksigen tak sampai ke otak. Apabila tersedar, saya macam lupa apa yang nak buat."
Menurut Bob lagi, dadanya semakin sakit hingga ke belakang, jadi dia meminta sepupunya menghantarkannya ke bahagian kecemasan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Katanya, selepas dirawat, doktor memaklumkan jantungnya semakin membengkak dan banyak parut. Ia membuatkan kadar denyutannya tidak stabil. Lalu, doktor menyarankan agar dipasang alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) untuk menstabilkan denyutan jantung.
Bagaimanapun, keseluruhan kos mencecah RM60,000, sekali gus memaksa Bob dan keluarga memohon bantuan.
"Selama ini, kos untuk ubat-ubatan saya setiap bulan mencecah RM700 sebulan. Itu tak jadi masalah kerana saya masih lagi mampu untuk menanggung kos itu. Cuma, apabila dimaklumkan kos rawatan dan pemasangan alat IACD ini mencecah RM60,000, saya akui memang tak mampu. Jadi, saya mohon kalau ada yang sudi membantu untuk menderma."
Foto : FB Sahabat M Nasir
Bob turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Muslim Care Malaysia dan rakan-rakan penderma yang sudi membantu.
Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 56, juga memohon maaf kepada semua pihak sekiranya ada kata-kata atau tindakannya ketika zaman kegemilangannya di kaca TV mengguris hati.
"Kepada yang mengenali saya atau tidak, saya banyak dosa. Maafkan sekiranya ada yang terguris dengan kesombongan saya, tutur kata, atau lawak jenaka saya yang keterlaluan ketika saya muncul di kaca TV."
Semoga urusan Bob dipermudahkan hendaknya. - CARI |