Vokalis Projek Pistol, Cliff Umar diangkat sebagai juara Gegar Vaganza musim ke-7. - Foto Farihad Shalla Mahmud
Persembahan mantap Cliff Umar pada pentas akhir serta konsisten sepanjang minggu melayakkannya dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza musim ke-7 (GV7) di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya, di sini, malam tadi.
Cliff yang juga vokalis kumpulan Projek Pistol berjaya mengetepikan saingan seperti Muss, Noraniza Idris, Ayu Damit, Oja, Linda Nanuwil dan Ashira.
Kemenangan itu membolehkan Cliff membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 dan piala.
Naib juara pula disandang Muss, sekali gus melayakkannya menerima hadiah wang tunai RM50,000 dan piala.
Ayu terpaksa berpuas hati menduduki tempat ketiga. Sebagai ganjaran, Ayu memenangi hadiah wang tunai RM30,000 dan piala.
Nasib nyata tidak menyebelahi Noraniza dan Linda apabila hanya menduduki tempat keempat dan kelima, sekali gus masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000 dan RM15,000 serta piala.
Sementara itu, Oja dan Ashira yang diumumkan sebagai pemenang tempat keenam dan ketujuh dalam pertandingan itu.
Kemenangan itu menghadiahkan mereka wang tunai berjumlah RM10,000 dan RM5,000.
Persembahan peserta pada peringkat akhir diadili oleh juri terdiri daripada Datuk Ramli MS, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Syafinaz Selamat dan juri jemputan, Joe Flizzow.
Program akhir GV7 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse. Konsert akhir dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada bekas peserta GV7 yang tersingkir iaitu Haslinda, Rozita Izlyn, Eva, Indigo, Nomad dan Aju Success.
Sumber : Berita Harian |