Pengarah Osman Ali mengakui buntu mencari pelakon remaja yang benar-benar serius menjadi pelakon yang bagus dan bukan sekadar teruja mengejar jumlah pengikut.
Osman berkata, industri hiburan tempatan masih kekurangan pelakon remaja berbakat dan lebih menyedihkan, segelintir pelakon yang ada pakej rupa lebih seronok mengejar populariti dan bukannya kualiti.
Osman Ali, Foto: Harian Metro
"Kalau kita tonton drama atau filem dari Thailand, Indonesia, Korea Selatan, Jepun dan Hollywood, kita nampak ada ramai pelakon remaja yang berbakat dan popular memenuhi filem-filem remaja dan mereka benar-benar masih di usia remaja.
"Di Malaysia kita amat kurang pelakon remaja yang popular dan benar-benar berbakat besar. Kita ada pelakon remaja berbakat tapi hanya beberapa orang saja kalau disebut.
"Yang lain ada pakej rupa tapi tidak begitu serius mendalami ilmu lakonan sebaliknya mereka lebih seronok mempopularkan diri di laman sosial dan cuba meraih seberapa banyak pengikut. Dengan cara itu mereka fikir dapat buka peluang untuk diambil menjadi pelakon," katanya.
Kini dalam persiapan untuk melakukan penggambaran sebuah drama bersiri remaja, Osman mengakui alami kesukaran mencari calon pelakon tepat yang menepati kriteria dikehendaki.
"Buat masa sekarang sedang dalam persiapan untuk pengambaran sebuah drama bersiri remaja. Apabila mencari pelakon yang terbaik untuk watak-watak utama berkenaan, seolah-olah terbuntu seketika. Kalau ada pelakon muda remaja pun ramai yang sudah berlakon dengan imej dewasa, watak suami isteri untuk memenuhi tuntutan drama cinta semasa," kata pengarah filem Ombak Rindu itu.
Terdahulu, Osman berkongsi pandangannya itu menerusi Instagram dan meminta cadangan daripada pengikutnya siapakah pelakon remaja yang benar-benar bagus ada dalam industri sekarang. -CARI
Sumber: Harian Metro |