Cheng (tengah) bersama wakil dari GrabAds (Malaysia) pada Pelancaran Generator Mudah Alih NanoeX Panasonic.
Harian Metro
PANASONIC Malaysia Sdn Bhd menyasarkan peningkatan jualan sebanyak 40 peratus tahun ini menerusi produk membabitkan nanoeX.
Pengarah Urusan Panasonic Malaysia Sdn Bhd, Cheng Chee Chung berkata, terbaharu, pihaknya turut memperkenalkan penapis udara Generator Mudah Alih NanoeX Panasonic yang boleh digunakan dalam kenderaan.
Katanya, Panasonic akan terus agresif mempromosikan produk generator mudah alih nanoe-X tahun ini bagi mencapai sasaran ditetapkan.
"Ketika ini, teknologi nano-X sudah pun terdapat dalam penyaman udaranya dan kini diperluaskan ke produk lain pula.
"Malah, produk ini (penapis udara nanoeX) turut dilancarkan serentak di lima negara iaitu Kuala Lumpur, Singapura, Hanoi, Ho Chi Minh dan Jakarta.
"Secara keseluruhan, jumlah sumbangan jualan daripada produk nanoeX kepada kumpulan dijangka meningkat daripada 20 peratus tahun lalu, kepada 25 peratus tahun ini," katanya pada sidang media maya selepas majlis pengumuman kerjasama antara Panasonic dan Grab di sini, semalam.
Cheng berkata, generator mudah alih nanoeX itu turut dijual kepada orang ramai yang berminat pada harga runcit, RM599.
Menerusi kerjasama itu, Panasonic akan memasang generator mudah alih nanoeX di 5,500 kereta Grab di Asia Tenggara membabitkan Kuala Lumpur, Singapura, Jakarta, Hanoi dan Bandar Ho Chi Minh bagi menyediakan kualiti udara yang lebih baik buat penumpang.
Di Kuala Lumpur, sebanyak 1,000 unit generator itu akan dipasang di kereta premium Grab.
Teknologi nanoeX boleh mengumpulkan kelembapan yang tidak dapat dilihat di udara dan menggunakan voltan tinggi untuk menghasilkan hidroksil radikal yang terkandung di dalam air. |