|
Penyanyi lagu Menaruh Harapan, Zaiton Sameon,64, bersyukur dia masih mampu bertahan meneruskan kehidupan harian dengan bekalan wang simpanannya.
Zaiton dihubungi berkata meski jumlah wang simpanannya itu tidaklah begitu banyak dan kini semakin merosot, namun dia dapat bertahan lagi.
"Saya pun tak tahu sampai berapa lama lagi bekalan wang simpanan itu dapat digunakan berterusan, tetapi harapnya semoga krisis pandemik Covid-19 ini segera berakhir.
"Sebagai penyanyi, saya rindu untuk membuat persembahan dan selagi ada rezeki, saya takkan meninggalkan kerjaya ini kerana nyanyian sudah sebati dengan saya," katanya kepada Harian Metro.
Foto: Harian Metro
Jika sebelum ini, Zaiton memaklumkan wang simpanannya dikumpul hasil persembahan menyanyi, berniaga rendang dan minyak wangi, namun kini semua itu 'terhenti' seketika.
"Buat masa sekarang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, saya hanya duduk di rumah sahaja. Usia pun makin emas, dan saya tumpu sepenuhnya pada amal ibadat.
"Nak buat apa lagi pada ketika dah tak boleh keluar bekerja sekarang. Saya pun individu berisiko kerana faktor usia, jika keluar rumah. Jadi, untuk keselamatan duduklah di rumah dan tingkatkan amalan untuk bekalan diri," katanya.
Menurut Zaiton, dia bagaimanapun berkesempatan membuat dua persembahan nyanyian di Melaka, sekitar Oktober tahun lalu. Katanya, dapatlah juga rezeki ketika itu untuk menampung wang simpanan.
Mengenai perjalanan kerjaya, Zaiton berkata dia sepatutnya sudah merakamkan dua lagu baharu hasil ciptaan komposer Allahyarham A Ali, pada tahun lalu tetapi, tidak kesampaian.
"Dua karya daripada arwah untuk saya iaitu lagu solo dan duet itu sudah disiapkannya, namun kami tidak sempat bekerjasama untuk proses rakaman kerana Covid-19 dan arwah meninggal dunia pada 21 November, tahun lalu," katanya.
Menurut Zaiton lagi, jika ada rezeki dia berharap dapat merakamkan dua lagu berkenaan selepas PKP ini dan krisis Covid-19 berakhir. Ujarnya, kena tunggu keadaan semasa kembali membaik. -CARI
Sumber: Harian Metro |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|