Pasukan WHO tiba di Wuhan pada 14 Januari dijangka memulakan tugas lapangan akhir minggu ini selepas 14 hari kuarantin. - Foto AP/Ng Han Guan
MISI pasukan khas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Wuhan, China terus undang kontroversi.
Ini berhubung dakwaan sama ada kegagalan China bertindak di peringkat awal penularan, menyebabkan virus COVID-19 tersebar ke seluruh dunia.
Pasukan WHO tiba di Wuhan pada 14 Januari dijangka memulakan tugas lapangan akhir minggu ini selepas 14 hari kuarantin.
Sejak awal, WHO berusaha mendapatkan kerjasama lebih daripada China.
Rakaman audio mesyuarat dalaman WHO yang diperoleh The Associated Press mendedahkan pegawainya mengeluh kerana tidak mendapat maklumat mereka perlukan.
Wakil WHO di China, Dr Gauden Galea didengar berkata, pegawai China hanya akan memberi maklumat kepada mereka 15 minit sebelum ia muncul di CCTV.
"Kita kini berada di tahap di mana ya, mereka memberikannya kepada kami 15 minit sebelum muncul di CCTV.
“Kami secara tidak rasmi dan secara rasmi meminta lebih banyak maklumat epidemiologi, khususnya, apakah tarikh permulaan kes terakhir. Itu sahaja sudah cukup berguna.
“Tetapi mereka hanya berkata ada kemas kini baharu yang akan keluar. Tetapi ketika diminta untuk mengetahui secara spesifik, kami tidak dapat apa-apa, " katanya lagi.
Menurut rakaman tersebut, pegawai WHO memuji China di khalayak ramai kerana mereka ingin lebih banyak maklumat daripada kerajaan.
Rakaman turut mendedahkan sepanjang mesyuarat pada Januari 2020, China tidak berkongsi data yang cukup untuk menilai kesan penularan virus kepada orang ramai dan risiko yang ditimbulkannya seluruh dunia.
Ketua Teknikal COVID-19 WHO, Dr Maria Van Kerkhove pula menyifatkan keadaan ini sebagai satu rahsia yang tidak diurus dengan baik.
"Ini satu rahsia yang tidak diurus dengan baik. Hong Kong yang mempunyai hubungan langsung dengan China, sedang berbicara dengan individu yang paling kanan dalam pengurusan,” jelasnya.
China juga didakwa enggan berkongsi maklumat mengenai penjujukan genom virus lebih dari seminggu selepas tiga makmal kerajaan berbeza telah menguraikan sepenuhnya maklumat tersebut.
Seorang pakar kesihatan awam Universiti Hong Kong menyebut kunjungan WHO ke China adalah sebagai misi membangunkan imej.
Ini kerana katanya, China ingin dianggap sebagai negara yang lebih telus, manakala WHO ingin menunjukkan ia sedang jalankan ia sedang mengambil tindakan.
Sumber: Astro Awani |