|
Sudah berulangkali pelakon, pengarah dan penerbit, Fauziah Ahmad Daud menjelaskan pekerjaan sebagai pelakon bukannya senang.
Baginya, tidak mudah untuk menzahirkan lakonan berjiwa dan boleh dirasai oleh penonton.
Justeru, ini mendorongnya menganjurkan bengkel lakonan bagi membolehkan pelakon sedia ada serta mereka yang berminat menjadi pelakon menimba ilmu terutama dalam aspek menzahirkan emosi.
Foto: Harian Metro
"Dah lama saya buat bengkel sebegini dan selepas itu berhenti seketika. Sekarang ramai minta dan saya cuba buat dalam bentuk norma baharu iaitu secara 'online'.
"Saya kini tampil dengan Bengkel Asas Seni Lakon yang dianjurkan pada 7 Februari nanti. Kelas dalam bentuk dua sesi ini iaitu 10 pagi hingga 11 pagi dan 3 petang hingga 4 petang berkenaan akan berlangsung menerusi Google Meet.
"Bayaran dikenakan cuma RM50, manakala jumlah peserta untuk setiap sesi hanya dihadkan seramai 25 individu sahaja," katanya.
Mengimbas kembali bengkel anjurannya sebelum ini, ia dihadiri oleh ramai penggiat industri antaranya Mira Filzah, Siti Saleha, Tasha Shila, Syafie Naswip, Shaheizy Sam, Ayda Jebat, Farid Kamil, Lisa Surihani, Que Haidar dan ramai lagi.
Menurutnya, secara asasnya pembelajaran dibuat dalam banyak siri dan dia tidak boleh menghabiskannya dalam tempoh satu jam sahaja.
"Matlamat saya, bukan hanya untuk berkongsi ilmu tetapi ramai yang saya tengok tidak memahami kraf seni lakon menjadi orang seni.
"Macamana nak menghargai bakat untuk anda terus bertahan, sebabnya orang yang ada ilmu dan ada isi, kolam rasanya lain.
"Jadi mereka perlu memahamkan dan memberi kefahaman tentang apa itu kolam rasa dan proses untuk menjadi seorang insan seni," katanya.
Foto: IG
Ogy, 58, berkata, dia mahu mengajar bagaimana seseorang pelakon itu meneroka bakat, emosi dan intonasi serta penghayatan.
"Mereka kena belajar bagaimana bermain dengan situasi, bermain dengan ruang dan macam mana nak pegang panggung.
"Banyak yang perlu dididik untuk mereka yang benar-benar serius untuk membabitkan diri dalam bidang seni.
"Saya berniat nak melihat ada yang meneruskan legasi saya.
Ogy tidak menafikan pensyarah sudah memberikan yang terbaik untuk berkongsi ilmu, namun pendekatannya mungkin berbeza.
"Ia pasti lain bila mendapat seorang tenaga pengajar yang sudah melalui perjalanan sebagai seorang insan seni selama empat dekad.
"Serta insan seni yang turun padang mempraktikkan apa yang saya sendiri belajar dan melaluinya dengan pengalaman.
"Menerusi pengamatan saya melahirkan modul ini, penyampaiannya akan berbeza bila saya berkongsi ilmu ini," katanya.
Foto: IG
Berkongsi perkembangan terbaharunya pula, Ogy kini masih terbabit dengan penggambaran drama Diva Popular sebanyak 20 episod.
"InsyaAllah ada juga tawaran lain akan. menyusul. Alhamdulillah, rezeki. Tapi, saya kena selesaikan drama ini dahulu," katanya.
Sehubungan itu, info lanjut mengenai Bengkel Asas Seni Lakon berkenaan turut dikongsikan Ogy di media sosialnya. -CARI
Sumber: Harian Metro |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|