|
Bagaikan hilang sebelah sayap, itulah dirasakan Fizie dengan ketiadaan teman seperjuangannya, Shuk Sahar sebagai rakan penyampai Hot FM sejak tiga minggu lalu.
Perkhidmatan Shuk masih lagi digantung sejak 25 Januari lalu berikutan isu pergolakan semula rumah tangga yang tular disebabkan pendedahan isterinya, Rossalennah Natassiah Asshaferah berhubung kecurangannya dengan seorang wanita dalam laman sosial.
Sehingga kini, pengurusan Hot FM mengesahkan, isu berkenaan masih dikaji dan dalam perbincangan dan akan melakukan pengumuman kelak.
Mengulas ketiadaan Shuk, Fizie berkata, dia merasakan kekosongan kerana Shuk adalah rakan seperjuangannya paling lama bekerjasama di konti Hot FM.
Foto: IG
"Saya dan Shuk sudah lebih lima tahun bersama. Jujurnya, memang terasa apabila Shuk tiada seperti sebelah sayap hilang. Kami selesa bersama dan hubungan juga rapat.
"Tetapi, tidak mengapalah, kita doa yang baik-baik buat Shuk. Sebagai rakan baik, saya tiada hak untuk campur urusan peribadinya. Jika nak cakap soal prestasi kerja, Shuk seorang yang mudah memberikan kerjasama.
"Bagi saya, kita membawakan jenama syarikat perlu amanah terhadap kerja. Contohnya, apabila orang sebut Fizie, orang akan sebut Fizie Hot FM, jadi kita harus menjaga jenama yang dibawa," katanya kepada BH Online.
Sementara itu, Fizie kembali ke udara melalui segmen Geng Pagi Hot (GPH), mulai semalam bersama teman penyampai terbaru stesen radio itu, Mark Adam. Sebelum ini, Fizie tidak muncul dalam segmen GPH selama hampir sebulan kerana menjalani latihan intensif bersama Mark.
Fizie atau Mohamad Hafizie Roslan, 32, berkongsi dia seronok mengendalikan segmen GHP bersama Mark.
"Alhamdulillah, hari pertama ke udara bersama pengalaman baharu. Mark penuh dengan idea, spontan dan lucu. Secara tidak langsung dapat memberikan impak keceriaan pada pendengar.
"Saya dengan Mark sudah lama mengenali, jadi tiada masalah untuk mencari keselesaan dan keserasian di konti. Awalnya, tak dinafikan, agak sukar, tetapi apabila sudah dapat rentak, semuanya jadi mudah. Jadi, ia adalah pengalaman di luar jangkaan.
"Jika nak dibandingkan dengan Shuib, Mark mempunyai karakter berbeza dan cara berlawak mereka pun tak sama. Penyampaian Mark lebih lurus dan selamba," katanya.
Katanya, dia menjalani sesi latihan bersama Mark bagi memastikan segmen GPH berjalan seperti dirancang.
"Kami berkongsi apa perkara yang perlu dibuat dan tak boleh dibuat, cara penyampaian dan sebagainya. Sebab bagi Mark, bahasa mungkin satu kekangan, tetapi kekurangannya itulah boleh dijadikan sebagai kekuatan.
"Soal teman bersilih ganti dalam dunia penyampaian radio, ia satu perkara biasa. Itulah cabaran perlu dihadapi setiap penyampai, tetapi saya mengharapkan Mark dapat kekal lama bersama kami," katanya.
Foto: IG
Berkongsi hari pertamanya ke udara sebagai penyampai Hot FM, Mark mengakui teruja mencuba bidang baharu dalam hidup.
Mark atau nama sebenarnya, Fikri Mark Adam Abdullah, 41, berkata peluang seperti itu tidak datang selalu, jadi dirinya bersyukur diberikan kepercayaan, meskipun mempunyai kekurangan dari segi penguasaan bahasa Melayu.
"Saya seronok berada dalam konti, walaupun pada awalnya agak gementar, tetapi keterujaan lebih menguasai diri.
"Rasa kekok juga tiada sebab saya sudah berlatih selama hampir sebulan bersama Fizie. Dia banyak membantu memandangkan berpengalaman dalam bidang penyiaran radio.
"Jadi, saya tidak sabar menimba lebih banyak pengalaman dan belajar menjadi penyampai lebih baik pada masa hadapan," katanya.
Mark berkata, dia diminta menghadiri sesi uji bakat sebelum diberikan tawaran menyertai Hot FM diterima sejak Januari lalu.
"Saya menghadiri sesi uji bakat sekitar dua bulan lalu. Mulanya, pihak pengurusan tidak pasti untuk mengambil saya dan hanya memutuskan, baru-baru ini.
"Saya banyak berfikir sama ada mahu terima atau tidak. Sebagai penyampai radio, saya mempunyai tanggungjawab untuk menyampaikan berita dengan baik.
"Bagaimanapun, saya akhirnya mahu mencabar diri selepas mengambil kira pandangan isteri. Saya percaya dunia penyiaran radio salah satu cabang yang membolehkan saya menghiburkan pendengar, jadi mengapa tidak saya menggunakan platform ini," katanya.
Tambah Mark, dia juga percaya platform itu boleh menjadikannya menguasai bahasa Melayu dengan lebih baik.
"Ini adalah platform untuk saya belajar dan membaiki bahasa Melayu. Untuk menjalankan tanggung ini, saya banyak membaca berita dalam tempoh dua bulan ini.
"Saya akui banyak ruang yang perlu diperbaiki, jadi saya berharap pendengar membantu saya menjadi penyampai radio yang lebih baik," katanya.
Biarpun terikat sebagai penyampai radio, Mark berkata, dia tidak akan mengetepikan kerjaya sebagai penyanyi dan guru vokal.
"Saya akan susun jadual saya. Komitmen saya di Akademi Suara pada sebelah petang selepas selesai di konti. Macam mana pun nyanyian dan lakonan tetap akan berjalan. Tetapi, kerjaya nyanyian berjalan perlahan memandangkan saya ada komitmen di radio," katanya.
Sementara itu, Mark juga menyatakan, dia tidak mempunyai masalah sekiranya bekerjasama dengan Shuk memandangkan mereka pernah bersama menerusi program Muzikal Lawak.
Hot FM turut mengumumkan segmen Jam Hot masih mengekalkan Deen dan Haziq sebagai gandingan dari jam 4 petang hingga 8 malam. Seterusnya, segmen Mega Hot kelolaan Zetty pula akan ke udara dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam. -CARI
Sumber: Berita Harian |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|