Ketua Polis Pontianak Utara, Hery Purnomo dipecat selepas dua tahanan meloloskan diri dari lokap dengan menggunakan senduk.
Lapor Kompas.com, jurucakap polis, Leo Joko memaklumkan, dua tahanan tersebut yang dikenali sebagai Faisal dan Meki ditahan dalam lokap di Balai Polis Pontianak Utara.
Katanya, kedua-dua tahanan tersebut meloloskan diri dengan mengorek dinding lokap menggunakan senduk yang sudah ditajamkan.
ANGGOTA polis menunjukkan lubang yang dibuat oleh dua tahanan menggunakan senduk bagi melarikan diri di Pontianak Utara, Kalimantan Tengah, Indonesia. - AGENSI
Namun, polis tidak menyatakan jenis senduk yang digunakan oleh kedua-dua tahanan tersebut bagi melarikan diri.
“Seorang daripada tahanan berpura-pura mengaji untuk mengaburi mata anggota polis yang berkawal, manakala seorang lagi mula mengorek dinding lokap.
“Selepas dinding berlubang, kedua-dua tahanan meloloskan diri. Lubangnya tidak cukup besar, namun mereka masih dapat melarikan diri,” katanya.
Leo turut mengakui bahawa bangunan balai polis tersebut sudah usang, namun masih selamat digunakan.
Namun, selepas 12 jam melarikan diri, kedua-dua tahanan tersebut berjaya dikesan dan ditangkap semula.
Jelas Leo, mereka di tangkap di dua lokasi berbeza iaitu Faisal ditahan ketika dalam perjalanan ke Sambas, manakala Meki ditahan di rumah keluarganya.
Sumber: Utusan |