|
Pelakon, pengacara dan penyampai radio, Sharifah Shahirah, 46, menjadi bahan bualan warganet semalam selepas muncul dengan persembahan melucukan dan bersahaja dalam program terbaru terbitan TV3, Famili Duo.
Kredit foto: IG tv3malaysia
Menyanyikan lagu berjudul dendangan asal Ella, Standing In The Eyes of The World, Shahirah yang bergandingan dengan anak perempuannya, Tallisya tidak menyangka ramai yang menyukai persembahannya walaupun dia tidak menyanyi dengan baik.
“Seumur hidup, itulah kali pertama saya menyanyi untuk sebuah rancangan televisyen. Selama saya menjadi pengacara untuk majlis-majlis makan malam atau korporat adalah juga menyanyi itu pun saja-saja.
“Kalau ada yang tak suka dan kutuk tu, saya faham. Tak marah pun sebab sudah sememangnya saya ni bukan seorang penyanyi,” katanya.
Shahirah membuat kemunculan dalam program tersebut bersama anaknya, Tallisya yang kemudiannya meraih perhatian penonton di televisyen dan media sosial kerana gelagatnya menyanyi dengan gaya spontan sambil menyelitkan aksi humor.
Selain itu,kata isteri pelakon Ijoy Azahari ini lagi, pada awalnya dia tidak begitu yakin untuk menyertai program tersebut namun setelah dipujuk oleh pihak produksi, dia kemudiannya mengubah fikiran.
“Bila penerbit kata cuma menyanyi macam karaoke, barulah saya bersetuju. Bukan apa, takut orang menyampah tengok saya menyanyi.
“Ada juga yang komen saya buat program itu macam sampahlah sebab tak menyanyi betul-betul. Nama pun program hiburan, saya pula penghibur. Kalau mahu yang serius, ada program lain yang lebih serius,” katanya.
Selain Shahirah, Famili Duo juga turut disertai oleh penyanyi lain seperti Siti Saerah, Azwan Kombos, Ezzaty Abdullah, Nadzmi Adhwa, Ardell Aryana, Lan Solo, Amyza Aznan, Fauzi Nawawi, Amelina, Zarina Zainoordin, Hefny Sahad, Ara Johari, Ezad Lazim, Zamani, Sharif Zero, Atu Zero, Shiha Zikir, Aepul Roza, Leez Rosli, Haziq Hussni, Ifa Raziah dan ramai lagi.
Program itu juga dihoskan oleh Uyaina Arshad manakala Mark Adam dan Didie Alias pula merupakan juri tetap yang dilantik.
Sumber: Utusan
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|