Personaliti media sosial Arab Saudi ini hilang hak penjagaan anak kerana didakwa memiliki penampilan yang tidak sesuai untuk seorang ibu.
Refa Al-Yemi yang popular di platform Snapchat dan TikTok dinafikan hak penjagaan terhadap empat anak selepas suaminya memaklumkan kepada mahkamah bahawa wanita itu tidak layak kerana bertatu dan mewarnakan rambut menjadi hijau.
Kredit foto: Daily Star/Newsflash
Refa yang juga jurulatih kecergasan menjadi tarikan di media sosial kerana sering berkongsi tip kesihatan dan kecantikan.
Media tempatan sebelum ini melaporkan Refa pernah diculik dipercayai oleh ahli keluarganya kerana didakwa memalukan mereka.
Dilaporkan dia diculik dari rumahnya di sini dan wujud kebimbangan dia mungkin menjadi korban kepada 'pembunuhan terhormat', hingga khabar angin itu bertebaran Twitter dengan tanda pagar #IsRefaKilled? serta menarik perhatian aktivis.
Siasatan polis kemudian mendedahkan penahanan empat lelaki di dalam kereta yang dikaitkan dengan kes itu, manakala Refa selamat dan dalam jagaan khidmat sosial.
Bagaimanapun, aktivis hak asasi manusia, Lina Alhathloul menulis di Twitter dengan menuduh polis melayani Refa secara buruk.
"Refa adalah seorang wanita yang berdikari. Ahli keluarga lelakinya tidak suka dan menculiknya. Dia dijumpai polis dan berbanding diselamatkan, dia sebenarnya diletakkan di rumah jagaan yang seperti penjara," ciapnya seperti dilapor Daily Star.
Sumber: Harian Metro |