Bukan saja kakinya tersepit pada pintu bas, setengah minit mangsa diseret kenderaan berkenaan.
Berikutan kejadian di Huizhou, selatan wilayah Guangdong pada Khamis lalu yang dirakam kamera pengawasan bas awam, pemandu bas terbabit digantung kerja selepas video berkenaan tular, Newsweek.
Menurut jurucakap pengangkutan awam, gadis berusia 13 tahun itu hanya cedera ringan.
Kredit foto: YouTube SCMP
Pelajar berusia 13 tahun itu berpakaian seragam dan membawa beg galas berwarna merah jambu dilihat di bahagian belakang bas yang berhenti dengan pintu terbuka.
Namun, ketika dia mula turun dari bas sambil memeriksa lalu lintas yang datang dan memberi laluan kepada sebuah motosikal, pintu bas itu tertutup.
Ia menyebabkan kaki kanannya tersepit dan dia diseret selama setengah minit.
Pemandu bas itu yang dikenali sebagai Zhou kemudian memberhentikan bas selepas mendengar jeritan remaja itu dan diberitahu penumpang lain.
Kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia berlari untuk memeriksa mangsa.
Dia dilihat membawa remaja berkenaan ke dalam bas dan duduk sebelum dilaporkan membawanya ke hospital tempatan.
Pihak berkuasa bagaimanapun tidak memaklumkan sama ada lesen Zhou akan digantung atau tidak susulan kejadian itu.
Sumber: Harian Metro |