Tuah menyebelahi seorang lelaki gelandangan dari Nigeria apabila mendapat tawaran untuk menjadi model bagi sebuah penggambaran fesyen.
Lapor Oddity Central, tawaran itu dibuat selepas seorang pengarah kreatif terserempak dengan Ali Olakunmi dari Osun, Nigeria yang ketika itu tidur di bawah jambatan.
Kredit foto: Oddity Central/Twitter
Pengarah kreatif yang dikenali sebagai Afolabi memilih lokasi dibawah jambatan itu sebagai latar belakang untuk penggambaran fesyennya.
Ketika sedang menunggu model lelaki yang belum sampai, Afolabi secara kebetulan terserempak dengan Olakunmi yang dirasakan memiliki semua ciri model untuk penggambaran fesyennya.
Afolabi meminta pemuda etnik Yoruba itu mengenakan pakaian dan bergaya untuk bergambar.
“Saya ada penggambaran di Ikeja hari ini, sementara menunggu model sampai, kami meminta seorang lelaki gelandangan (Olakunmi) yang tidur di bawah jambatan menjadi model sementara kami.
“Saya rasa Olakunmi memang dilahirkan untuk menjadi model. Dia memiliki gaya, bentuk badan dan warna kulitnya yang sempurna untuk bidang ini,” katanya dalam satu ciapan di Twitter, baru-baru ini.
Ciapan Afolabi dan beberapa gambar Olakunmi mengenakan pakaian cantik menjadi tular dalam media sosial.
Selepas ciapan itu menjadi tular, Afolabi mula mendapat pertanyaan daripada warganet termasuk sebuah syarikat pemodelan multinasional di Lagos untuk bertanyakan tentang bakat Olakunmi.
Sumber: Utusan |