Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terduduk di atas sofa selepas khusyuk bermain permainan video Xbox sepanjang malam.
Lapor Mirror, Simon Lee Shanks, 43, dan rakannya bermain permainan video itu sehingga tengah malam di rumahnya di Lougher, Swansea pada Oktober lalu.
Selepas bermain Xbox bersama Shanks, rakannya berasa mengantuk dan ke bilik untuk tidur.
SIMON LEE SHANKS ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terduduk di atas sofa dengan memegang 'controller' Xbox.
Kira-kira 11 jam kemudian, rakannya menemui Shanks dalam keadaan tidak sedar diri dan terduduk atas sofa sambil memegang 'controller' Xbox.
Pasukan paramedik tiba di rumah tersebut pada 19 Oktober tahun lalu namun gagal menyelamatkan Shanks selepas mencuba sedaya upaya.
Ahli paramedik mengesahkan Shanks meninggal dunia selepas tengah hari.
Berdasarkan sesi perbicaraan yang diadakan di Swansea Guildhall, Shanks sebelum ini didakwa mengalami masalah mental dan pernah mengambil minuman keras dalam kuantiti banyak selepas putus cinta.
Bagaimanapun, Shanks berjaya mengatasi masalah itu selama tujuh tahun tanpa mengambil sebarang ubatan.
Dalam prosiding tersebut, polis South Wales, Ben Evans memberitahu, mangsa tidak mengambil sebarang dadah pada hari kejadian dan biasanya tidur di atas sofa.
“Pegawai tidak menemui sebarang bukti penggunaan dadah. Tiada tanda gangguan atau dimasukkan secara paksa. Walaupun kematian Shanks tidak mencurigakan, namun masih tidak dapat dijelaskan,” katanya.
Sumber: Utusan |