Seorang lelaki sanggup menggadai barang kemas isterinya dan mengubah suai teksi auto miliknya menjadi mini ambulans bagi menawarkan bekalan oksigen dan pengangkutan percuma kepada pesakit Covid-19.
Mohammad Javed Khan, 34, memuatkan sebuah tong oksigen dalam teksi auto beroda tiga miliknya, selain sebuah oksimeter untuk mengukur kandungan oksigen dalam darah pesakit serta beberapa peralatan perubatan yang lain.
Teksi auto milik Mohammad Javed yang diubah suai menjadi ambulans mini bagi menawarkan bekalan oksigen percuma kepada pesakit Covid-19. – AFP
“Pesakit yang kritikal tidak boleh dibawa ke hospital tanpa bantuan oksigen.
“Jadi, saya terfikir untuk menukar teksi auto kepada ambulans. Meskipun keadaannya tidaklah sebesar dan selesa seperti ambulans, namun yang pasti perkhidmatan ini dapat membantu menyelamatkan nyawa,” ujarnya dipetik AFP.
Tambah Mohammad Javed, tindakannya untuk menawarkan bantuan itu turut diambil selepas melihat ramai pesakit tidak mampu membayar caj perkhidmatan ambulans yang mahal.
“Apabila mereka menghubungi ambulans, mereka dicaj 5,000 rupee (RM279) hingga 10,000 rupee (RM558).
“Bagaimana seorang yang miskin mampu membayarnya terutamanya dalam situasi pandemik ini apabila kebanyakan orang tidak mempunyai pendapatan?” soalnya.
Teksi tersebut dilengkapi dengan sebuah silinder oksigen, sebuah oksimeter untuk mengukur kandungan oksigen dalam darah pesakit serta beberapa peralatan perubatan yang lain. – AFP
Sebelum ini, Mohammad Javed pernah didakwa oleh polis kerana mengendalikan perkhidmatan tersebut tanpa permit kecemasan ketika perintah berkurung di negeri Madhya Pradesh, namun tuduhan itu digugurkan malahan dia diberikan permit khas selepas kes tersebut mendapat perhatian di media sosial.
Sumber: Kosmo! |