Nampaknya, masih ramai individu menyalahgunakan media sosial untuk menghina pihak berkuasa secara terang-terangan hanya kerana gagal mengawal emosi.
Individu yang dimaksudkan ialah seorang pengguna Facebook, Diana Mat yang memuat naik beberapa status menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya anggota yang terbabit dalam sekatan jalan raya (SJR) di Putrajaya, kerana berang ditahan polis dipercayai kerana melakukan perjalanan merentas negeri atau daerah.
Selalunya mana-mana individu yang ditahan polis ketika di jalan raya, sudah pasti memanjatkan rasa bersyukur jika mereka dilepaskan dengan budi bicara, tetapi lain pula reaksi wanita ini yang memilih untuk memaki anggota beruniform dengan kata-kata kesat.
Dek kerana status-status berani seperti ini, ada yang beranggapan, akaun Facebook wanita itu mungkin telah digodam. Namun, Diana menyangkal tangapan itu dan menegaskan status-status itu sememangnya ditulis olehnya sendiri.
"Facebook aku tak kena hack, itu budak kecik dan menteri-menteri bodoh je yang cakap. Bodoh tu maknanya sayang," tulisnya sejam yang lalu.
Namun, tinjauan mendapati status-status tersebut sudah dipadamkan.
Kredit foto: Facebook Abam Penguatkuasa
Budaya caci maki yang semakin menjadi-jadi di media sosial sejak akhir-akhir ini sepatutnya dihentikan. Jika tidak, ia pasti akan menjadi barah yang sangat bahaya dalam masyarakat kita dan akan memberi kesan negatif kepada generasi akan datang.
|