Kebakaran terbabit disedari anggota bertugas yang melihat kepulan asap hitam dari tingkat berkenaan. - Gambar fail
KUANTAN: Polis meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung kebakaran pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang semalam, kerana kebakaran itu tidak menjejaskan sebarang dokumen atau barang kes yang masih dalam siasatan.
Sebaliknya kata Timbalan ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, kebakaran di bilik fail di tingkat tiga pada 4.15 petang semalam itu melibatkan fail pendua bagi kes yang telah selesai siasatan.
"Setakat ini juga tiada unsur khianat dalam kebakaran dan laporan awal bomba mengatakan kebakaran berpunca daripada litar pintas.
"Bagaimanapun, siasatan terperinci mengenai punca kebakaran masih berjalan dan jika terdapat unsur kecuaian atau khianat, tindakan sewajarnya akan diambil," katanya di sini hari ini.
Semalam, Mohd Yusri dilaporkan berkata kebakaran terbabit disedari anggota bertugas yang melihat kepulan asap hitam dari tingkat berkenaan.
Kejadian tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Sumber -- BERNAMA
|