|
Kuala Lumpur: Musim pertama pertandingan nyanyian dalam talian TVSTARZ anjuran TV Sarawak menobatkan Jazper Nimoi, 31, sebagai juara sulung program itu, semalam.
Pemuda kelahiran Kuching, Sarawak itu berjaya memukau tiga juri tetap, Ernie Zakri, Yudhi Seriestha, dan Amir Jahari menerusi persembahan bertenaganya menyanyikan lagu I Have Nothing (Whitney Houston).
Jazper berkata, dia tidak sangka rezeki berpihak kepadanya memandangkan empat finalis lain yang bertanding termasuk peserta dari Sabah, Fanzi Ruji cukup hebat.
"Saya tidak menjangka keputusan ini apatah lagi bersaing dengan Fanzi," katanya.
Menerusi kemenangan itu, Jazper berjaya membawa pulang wang tunai RM30,000 beserta trofi TVSTARZ.
Tempat kedua menjadi milik Fanzi yang membawa pulang wang tunai RM15,000 dengan menyanyikan lagu Bukan Dia Tapi Aku (Judika).
Tempat ketiga pula milik Andrew yang menang RM10,000 dan menyanyikan All Of Me (John Legend), manakala tempat keempat dimenangi Angel dan Jalee di tempat kelima.
TVSTARZ adalah pertandingan nyanyian yang menghimpunkan peserta dari tiga negara iaitu Malaysia, Filipina dan Indonesia.
Ia berlangsung selama 13 minggu sebelum lima peserta dipilih ke peringkat akhir.
Kredit : Harian Metro |
|