Puteri Catharina-Amalia, pewaris takhta Belanda sanggup melepaskan elaun tahunan berjumlah AS$2 juta (RM8.28 juta) sehingga beliau menjalankan tugas rasminya.
People.com melaporkan puteri kepada Raja Willem-Alexander dan Ratu Maxima itu menyatakan keputusan berkenaan menerusi surat tulisan tangan yang dihantar kepada Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte pada Jumaat.
Kredit foto: IG @princess.catharinaamalia
"Saya berusia 18 tahun pada 7 Disember ini dan akan menerima elaun mengikut undang-undang.
"Saya berasa tidak selesa untuk menerimanya selagi tidak melakukan apa-apa ketika penuntut lain berdepan tempoh lebih sukar, terutamanya ketika pandemik ini," katanya.
Puteri Amalia juga berhasrat untuk berehat selama setahun sebelum memulakan pengajian pada peringkat siswazah.
Bukan setakat itu, Puteri Amalia akan membayar hampir AS$400,000 (RM1.66 juta) iaitu kos pengajiannya nanti.
Beliau juga tidak akan menuntut peruntukan perbelanjaan AS$1.6 juta (kira-kira RM6.62 juta), sehingga dia menanggung kos hidup sara tinggi apabila menjalankan tugas rasmi, kelak.
Puteri Amalia sebelum ini dilaporkan lulus dengan cemerlang peperiksaan akhir di sebuah sekolah ternama di Den Hague, minggu lalu.
Bersesuaian dengan tradisi Belanda, Puteri Amalia meraikan berita gembira itu dengan menaikkan bendera negaranya dan video itu dikongsi ke akaun laman sosial keluarga.
"Saya baru saja mendapat panggilan yang saya lulus dalam peperiksaan! Saya ingin mengucapkan tahniah dan pada masa sama selamat maju jaya kepada penuntut lain," katanya.
Pada Hari Keputeraan Raja Willem-Alexander April lalu, Puteri Amalia berkongsi rancangannya untuk berehat sebelum melanjutkan pendidikannya.
"Saya ingin melakukan sedikit pengembaraan, menjelajah dunia, melakukan perkara yang mungkin tidak dapat dilakukan dalam masa 20 tahun" katanya.
Sumber: Harian Metro
|