Bekas ahli kumpulan nasyid Rabbani, Azizan Khalid disahkan meninggal dunia pada usia 46 tahun di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), Petaling Jaya pada pukul 10 pagi Rabu.
Kematian mengejut Allahyarham disahkan ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz, 48, ketika dihubungi mStar pada Khamis.
Menurut Azadan, ketika ini jenazah Allahyarham masih berada di PPUM untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
"Isteri arwah cerita semalam (Rabu) lebih kurang pukul 8.30 pagi Allahyarham secara tiba-tiba sesak nafas selepas sarapan. Lepas itu ambulans datang ambil dan kemudian dalam pukul 10 pagi, dia disahkan sudah meninggal dunia.
"Sebenarnya sudah seminggu arwah demam tak kebah-kebah dan pada hari Selasa, dia pergi buat swab test Covid-19 dan doktor pun dah berikan gelang pink untuk dia jalani kuarantin di rumah.
"Result swab test dia patutnya keluar hari ini tapi dia dah pergi dulu semalam. Sekarang doktor belum lepaskan jenazah sebab nak buat post mortem untuk tahu punca kematian sama ada disebabkan serangan jantung atau virus Covid-19, " katanya kepada mStar.
Azadan juga berkata, sekiranya Allahyarham disahkan meninggal disebabkan Covid-19, pihak hospital akan menguruskan proses pengebumian mengikut prosedur operasi standard (SOP).
"ihak hospital maklumkan kalau Allahyarham meninggal sebab Covid-19, mereka akan uruskan sampai selesai majlis pengebumian.
"Kalau meninggal disebabkan serangan jantung, wakil ahli keluarga dibenarkan untuk sama-sama uruskan jenazah.
"Sepanjang hampir 30 tahun saya mengenali arwah, dia tidak menghidap sebarang penyakit serius dan Allahyarham pun memang sentiasa ceria orangnya, " ujarnya lagi.
Allahyarham Azizan (kiri belakang) dalam muzik video Intifada.
Menurut Azadan lagi, Allahyarham akan dikebumikan di kampung halamannya di Behrang, Perak. Allahyarham meninggalkan balu dan seorang anak perempuan.
Azizan menyertai Rabbani yang popular dengan lagu Intifada dan Pergi Tak Kembali pada tahun 1997 sebelum menarik diri pada 2001.
Sumber: mStar |