Sepasang suami isteri nyaris maut apabila van dinaiki terlanggar babi sebelum terbakar dalam kejadian di Kampung Separap, Parit Sulong awal pagi Selasa.
Bagaimanapun, pasangan itu bernasib baik apabila berjaya dikeluarkan orang awam dan hanya mengalami kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi Md Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.58 pagi sebelum sebuah jentera dengan kekuatan 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Pasangan suami isteri itu dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat bagi menerima rawatan lanjut.
"Sebaik tiba di lokasi iaitu berhampiran Maktab Rendah Sains Mara Batu Pahat, kita dapati van yang dinaiki pasangan berkenaan sedang marak terbakar.
"Difahamkan, pemandu lelaki yang berusia 63 tahun dan isterinya berusia 62 tahun dari arah Parit Sulong menghala ke Batu Pahat melanggar seekor babi hingga menyebabkan kenderaan mereka terbakar.
"Bomba bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran salur bantu mula sumber air pam jentera namun van berkenaan hangus 90 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Jelasnya, pemandu lelaki mengalami cedera di bahagian pinggang dan kaki manakala isterinya cedera di bahagian tangan kiri dan kaki di sebelah kanan.
Kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat bagi menerima rawatan.
Sumber: Sinar Harian |